Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Proton Jangka Kakitangannya Terima Vaksin Penuh Menjelang Pertengahan Ogos

By 13 Julai 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Proton

PUTRAJAYA, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos ini susulan program vaksinasi kepada semua pekerja bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong berkata, pekerja di Tanjung Malim dan Shah Alam yang belum divaksinasi akan mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang akan berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar untuk memperoleh vaksin akan menerima dos pertama.

“Proton berharap, menerusi proses vaksinasi kepada para pekerja, kami akan membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

“Inisiatif sama daripada syarikat lain diharap mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa pelaksanaan Kawalan Pergerakan dalan Pelan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihak syarikat telah bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dan Persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) bagi mempercepatkan usaha berkenaan di Tanjung Malim.

Li berkata, dengan kapasiti maksimum harian kira-kira 800 orang, PPVIN berkenaan akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga Proton serta pembekal di lokasi berkenaan akan mendapat vaksin.

Menurutnya, kakitangan di Shah Alam pula akan menerima vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam berikutan kekangan ruang di premis Proton.

Susulan proses vaksinasi bagi dos pertama yang bermula semalam, warga Proton dijadualkan menerima dos kedua kira-kira tiga minggu lagi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda