Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pusat e-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota Diperluas

By 18 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan (Pahang)

KUANTAN, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan menerusi siaran medianya semalam, Pusat e-Tuisyen Indera Mahkota yang bermula secara rasmi sejak Julai 2021 kini diperluaskan lagi susulan sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,674 pelajar dari 17 buah sekolah di kawasan tersebut.

Menurut beliau, program ini merupakan kelas pembelajaran tuisyen secara maya seiring dengan norma baharu dan merupakan hasil kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dan MSD Innovations, yang mana ianya menawarkan sejumlah enam subjek kepada pelajar tingkatan empat dan lima seperti Matematik Moden, Fizik, Bahasa Malaysia, Matematik Tambahan, Sejarah serta Bahasa Inggeris secara maya pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

“Program e-Tuisyen ini bermula pada 12 Mac lalu dengan mengambil pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah sebagai projek rintis.

“Seramai 339 pelajar yang akan mengikuti sesi pembelajaran Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris (324), Sejarah (372), Matematik Moden (321), Matematik Tambahan (178) dan 140 pelajar yang mahu mengikuti mata pelajaran Fizik,” katanya menerusi satu siaran media secara dalam talian, di sini.

Tambah Saifuddin, pembelajaran ini akan diajar oleh enam guru yang berpengalaman pada setiap Jumaat dan Sabtu dan seramai 30 pelajar akan mengikuti kelas terbabit pada satu-satu masa.

“Parlimen Indera Mahkota bercadang untuk menambah beberapa lagi mata pelajaran seperti Sains Moden, Geografi dan Pendidikan Islam pada masa akan datang dan ianya bergantung kepada keperluan dan permintaan semasa.

“Kelas ini diadakan secara percuma, kepada pelajar sekitar parlimen Indera Mahkota yang berminat, boleh layari laman https://forms.gle/HX7LAf1yXeoWAXTk6 untuk pendaftaran segera,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda