Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

[KEMAS KINI] PKZ Pahang Lancar Resit Digital Bayaran Zakat Negeri

By 29 September 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan (Kuantan) 

KUANTAN, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Negeri melancarkan Resit Digital Bayaran Zakat sebagai salah satu titik permulaan bagi memperluaskan urusan umat Islam secara pendigitalan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, merakamkan ucapan tahniah kepada PKZ Pahang kerana berjaya mengorak langkah dengan menggunakan resit digital sepenuhnya bagi urusan pembayaran zakat.

“Dengan penggunaan resit digital bagi tujuan pembayaran zakat ini, saya harap ianya akan meliputi urusan untuk berwakaf, agihan zakat dan lain-lain melalui satu platform sahaja,” katanya pada Majlis Pelancaran Resit Digital di bangunan MUIP, di sini hari ini.

Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Datuk Halidan Mat Daud, berkata bagi menyambut cabaran transformasi digital pada era moden ini, PKZ juga bergerak ke arah penggunaan teknologi automasi dengan memperkenalkan resit secara digital bagi semua urusan pembayaran zakat.

“PKZ telah berjaya menyediakan resit digital bagi semua urusan pembayaran zakat sama ada pembayaran di kaunter, dalam talian atau secara potongan gaji.

Paparan ezid.my Dunia Digital Zakat.

Paparan ezid.my Dunia Digital Zakat.

“Resit digital ini turut mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri bagi mengelak daripada dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab di antaranya penggunaan kod QR dan cetakan nombor siri khas,” ujarnya.

Tambah beliau, para pembayar boleh membuat semakan rekod pembayaran dan maklumat diri hanya dengan mendaftar masuk ke Ezid – One Stop Centre bagi semua urusan pembayaran zakat.

“Melalui Ezid ini juga, para pengguna boleh membuat semakan rekod bayaran zakat, membuat taksiran zakat, membayar zakat dan urusan wakaf tunai,” tambahnya.

Beliau memaklumkan, pada suku ketiga tahun 2021, prestasi kutipan zakat negeri berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus iaitu RM6.4 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

“Manakala dari segi pengagihan pula, sehingga 31 Ogos 2021 sejumlah RM116.6 juta telah diagihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Daripada jumlah tersebut, peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM54.5 juta telah diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang mana ia merangkumi bantuan bulanan, bantuan kemudahan asas, bantuan tahunan, bantuan kecemasan, bantuan bencana dan pembangunan kemahiran asnaf,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda