Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Abaikan Stigma Demi Kesihatan Mental

By 18 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)

KUCHING, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, mendedahkan bahawa petugas kesihatan adalah antara yang banyak mengalami tekanan mental semasa pandemik COVID-19 menerusi hasil penyelidikan “Prevalence and Factors Influencing Burnout among Frontliners in Malaysia during the COVID-19 Pandemic” yang telah dijalankan ke atas 893 orang petugas kesihatan.

Menurut Penolong Pegawai Perubatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Brendan Cripus Wingate, 39, sebanyak 53.8 peratus petugas kesihatan yang mengalami masalah isu tekanan mental akibat beban kerja.

“Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan staf kesihatan yang bertugas di makmal perubatan adalah diantara petugas kesihatan yang mencatat laporan tertinggi mengalami masalah tekanan beban kerja, iaitu 39.1 peratus.

“Manakala bagi tekanan disebabkan oleh kenaikan kadar kemasukan pesakit pula, dialami oleh paramedik serta petugas di hospital yang mana telah mencatat sebanyak 17.4 peratus,” ujarnya ketika ditemui di ILKKM Puncak Borneo, di sini baru-baru ini.

Guinevere Aring Pakar, Pekerja Sosial Pembangunan Rohani Belia Sarawak.

Guinevere Aring Pakar, Pekerja Sosial Pembangunan Rohani Belia Sarawak.

Menurut pekerja sosial Guinevere Aring Pakar, 34, tugas sebagai pekerja sosial menuntut beliau berkomunikasi secara bersemuka dengan golongan belia dan mendorong belia yang bermasalah untuk meneruskan kehidupan dengan penuh semangat.

“Sebelum pandemik, saya bertugas sebagai pekerja sosial untuk pembangunan rohani golongan belia tempatan, malangnya, pandemik telah mengubah norma kerja saya.

“Perjumpaan dengan golongan belia menjadi terbatas, meskipun saya masih boleh bertemu dengan golongan belia melalui cara hibrid, tetapi saya tidak berpuas hati, malah tidak dapat menerima cara norma baharu ini,” katanya.

Menurut Guinevere, apa yang menyedihkan, rakan-rakan di sekelilingnya mulai menegur sikapnya yang dahulunya ceria kini murung.

“Sehinggalah saya sedar bahawa saya mengalami tekanan disebabkan perkara ini dan memilih untuk mendapatkan rawatan bagi menangani tekanan kesihatan mental yang saya alami.

“Saya bersyukur setelah menjalani lima sesi rawatan selama lima bulan di sebuah hospital swasta di bandar Kuching, saya dapat kembali menjalankan tugas sebagai pekerja social,” katanya.

Terdahulu, ILKKM, Puncak Borneo telah mengambil langkah proaktif mengawal kes tekanan dan kemurungan dalam kalangan petugas kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling.

-ZS-

Tinggalkan komen anda