Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Program keterlibatan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan memberi ruang kepada pengamal media merakamkan keterujaan para pelajar kembali ke sekolah.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yusup Mohamad, media diberi peluang untuk melihat sendiri dan seterusnya merakam momen keterujaan dan kegembiraan anak-anak kembali ke sekolah.
“Detik ini boleh dikira bersejarah apabila buat sekian kalinya anak-anak ini kembali semula ke sekolah setelah lama menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) , terutamanya murid Tahun 1 yang hanya merasai pengalaman bersekolah untuk tempoh yang sangat singkat sebelum ini.
“Apatah lagi Wilayah Persekutuan Labuan merupakan negeri pertama yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana melibatkan murid sekolah rendah Tahun 1 dan murid sekolah menengah Tingkatan 3 dan 4 kembali semula ke sekolah secara penggiliran,” katanya semasa ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, di sini semalam.
Jelasnya, jalinan kerjasama strategik dengan JaPen juga selaras dengan peranan utamanya dan berpengalaman luas dalam pengurusan media profesional.
“Program keterlibatan media ini juga bertujuan untuk memberi liputan yang meluas mengenai pengoperasian sekolah secara bersemuka bagi meredakan kebimbangan dan seterusnya meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dalam suasana menghampiri endemik mengikut SOP yang ditetapkan.
Program keterlibatan media yang disertai pengamal-pengamal media dari dalam dan luar Labuan ïni melibatkan liputan persediaan serta pembukaan sekolah di SMK Mutiara, SMK Rancha-Rancha dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru selain membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SK Sungai Lada.
-RI