Foto: Infografik Facebook Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Berikut adalah inti pati ekonomi bagi Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini.
- Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion untuk Bajet 2022, nilai tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini
- Hasil kerajaan dijangka meningkat kepada RM234 bilion pada 2022
- Sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion bagi Kumpulan Wang COVID-19
- RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka
- Defisit fiskal 2022 diunjurkan \ berkurang kepada 6.0 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021
- Kerajaan bercadang memberi pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri
- Tempoh pengurangan cukai caruman minimum KSWP akan dilanjutkan kepada 9 peratus daripada 11 peratus sehingga Jun 2022 yang mellibatkan anggaran nilai RM2 bilion
- Pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus akan dilanjutkan ke atas kenderaan penumpang CKD dan 50 peratus ke atas CBU termasuk MPV dan SUV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022
- Kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani membeli rumah
- Pakej pembiayaan bernilai RM40 bilion disediakan dibawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia
- Pembiayaan kredit mikro bernilai RM1.8 bilion disediakan
- Pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta 12 bulan moratorium ditawarkan di bawah Skim Pembiayaan Informal dan Mikro
- BSN dan Agrobank akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus dengan kemudahan moratorium sehingga enam bulan
- Kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan RM10 juta bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas
- Dana RM30 juta akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi
- Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menyokong perluasan program I-TEKAD
- Sejumlah RM80 juta diperuntukkan secara geran padanan untuk ‘Malaysia Coinvestment Fund’ dan tambahan RM100 juta kepada pelaburan oleh BPMB, bagi terus menyokong pembiayaan alternatif
- Kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan kuasi-ekuiti akan diperkenalkan bagi membantu syarikat yang berdepan masalah ‘gearing’ atau leveraj
- BPMB akan menawarkan Skim RESET dan BNM akan menyediakan ‘Business Recapitalisation Fund’ bernilai RM1 bilion
- Sejumlah RM14.2 bilion dana keseluruhan tersedia untuk PKS
- Dana khas BNM terutamanya Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar ditingkatkan sebanyak RM2 bilion
- Syarikat berdaya maju tersenarai di Bursa Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 akan mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah syarikat tujuan khas milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain yang berkaitan
- Khazanah Nasional akan diberi mandat membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion
- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distrukturkan semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion
- Kerajaan bercadang melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga RM300,000 sehingga 31 Dis, 2022
- Potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 bagi syarikat yang berdaftar di bawah Safe@Work ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja dilanjutkan untuk satu tahun lagi
- ‘Business Travellers Center’ akan disediakan di Johor untuk Pelawat Perniagaan Jangka Pendek dari Singapura dengan kos RM10 juta
- Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022
- Semua perniagaan dibenarkan membuat pindaan anggaran cukai pendapatan yang kena dibayar dalam bulan ke-11 sebelum 31 Okt, 2022
- RM25 juta diperuntukkan untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan
- Dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional
- Sejumlah RM80 juta akan disediakan melalui MITI bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri seperti MRO di Subang, elektrik dan elektronik di Kulim dan kimia di Gebeng
- RM50 juta disediakan melalui pusat pembangunan kemahiran negeri bagi meningkatkan kemahiran TVET
- Geran padanan bernilai RM100 juta disediakan untuk syarikat PKS bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa
- RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation bagi melahirkan lebih ramai PMKS Halal
- RM30 juta akan disediakan bagi melaksanakan Hab Inovasi: Revolusi Industri Keempat
- RM20 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund untuk mempergiat usaha memulihkan dan membina daya tahan ekonomi syarikat pemula niaga
- RM45 juta diperuntukkan sebagai galakan transformasi teknologi ke arah Revolusi Industri Keempat
- Dana kolektif bernilai RM500 juta diperuntukkan menerusi inisiatif Jalinan GLC: Memperkasakan PMKS bagi membantu usahawan melalui khidmat nasihat dan sokongan kewangan
- Sekurang-kurangnya RM30 bilion akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal dan pelaburan tahun hadapan
- Kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian dalam ringgit sehingga RM10 bilion untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak
- Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road
- Dana permulaan RM200 juta diperuntukkan menerusi pewujudan Dana Mudah Cara Infrastruktur Ketiga bagi merancakkan lagi aktiviti pembangunan infrastruktur berimpak tinggi secara kerjasama awam swasta
- Kerajaan berhasrat memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara
- Kerajaan sedang melaksanakan ‘Public Expenditure Review’ dengan kerjasama Bank Dunia bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam
- Kadar duti setem nota kontrak dinaikkan kepada 0.15 peratus dan had duti setem RM200 setiap nota kontrak dimansuhkan, manakala aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan
- Cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Jan, 2022
- Cukai jualan dikenakan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara
- Kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, iaitu ‘cukai makmur’ kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi
- Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas platform e-dagang kecuali penghantaran makanan dan minuman serta logistik
- Penggunaan nombor pengenalan cukai akan dilaksanakan mulai 2022 bagi meluaskan asas cukai pendapatan
- Penyata Perbelanjaan Cukai akan diterbitkan dalam meningkatkan disiplin fiskal dan ketelusan serta melengkapi program Strategi Hasil Jangka Sederhana serta kajian insentif cukai yang sedang diusahakan
— BERNAMA