
Laporan/foto : Azimee Abdullah/Muhd Zaini Dollah (Daerah Barat Daya)
BAYAN BARU, 25 Oktober (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya (BD) melalui dua agensi telah menganjurkan Program Sepakat@Komuniti bagi menyantuni 30 golongan kurang berkemampuan termasuk 2 pesakit terlantar di tiga lokaliti terpilih dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, di sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Dr Haniff Hassan berkata, bantuan menerusi Program itu mendapat kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya dan Pejabat Perpaduan Dan Integrasi Nasional Daerah Barat Daya.
“Konvoi yang diadakan meliputi lokasi yang menerima bantuan ialah Permatang Damar Laut, Lebuh Sungai Ara, dua rumah pesakit terlantar dan berakhir di Dewan Pusat Aktiviti Warga Emas Bukit Gedung,”katanya ketika berucap di Program di sini.
Pesara tentera Hasri Hassan, 55, menyifatkan bantuan yang diadakan ini tepat pada masanya kerana dia sudah tidak dapat bekerja berikutan daripada kaki beliau yang sudah di potong bulan lalu berikutan dari penyakit diabetis yang di hidapinya.
“Saya mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada agensi kerajaan yang terlibat datang menziarahi dan menghulurkan bantuan,”katanya.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Dr Haniff Hassan berucap di Program Sepakat@Komuniti Santuni Pesakit Terlantar.
Seorang lagi penerima bakul makanan, Kassim Ahmad, 58, mengucapkan terima kasih kepada agensi yang terlibat yang memberi bantuan bakul makanan kepada beliau.
“Bantuan dan keprihatinan daripada agensi kerajaan kepada pesakit terlantar seperti saya adalah sangat baik dan selaras dengan konsep keluarga Malaysia,”katanya.
Terdahulu, Pejabat Penerangan Daerah BD turut mengagihkan pelitup muka, pensanitasi tangan dan bahan penerbitan jabatan selain menghebahkan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan kempen kerajaan selari dengan konsep keluarga Malaysia untuk mendekati rakyat secara bersemuka.