Laporan/foto : Mohd Shaharudin Suratman / Nooradilah Abdul (Seremban)
SEREMBAN, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 7 orang anak-anak istimewa telah diraikan sempena Program Ziarah Kasih anjuran Persatuan Isteri, Anak-Anak Dan Anggota Wanita
Penjara Malaysia (PERSIAP) Cawangan Penjara Seremban, di Dewan Melati, Penjara Seremban, semalam.
Menurut Yang Dipertuan PERSIAP Malaysia Datin Hajah Zihana Mohd Zin, program ini menjadi tanda sokongan dan keprihatinan PERSIAP Malaysia kepada anak-anak istimewa yang merupakan anak-anak kakitangan Penjara Seremban.
“Kita kena melihat kelebihan dan kemahiran anak-anak istimewa ini yang mana dapat dikembangkan bakat sedia ada mereka itu untuk perkembangan karier dan kehidupan mereka kelak, kerana anak-anak ini dalah anugerah istimewa dan bukanlah beban kepada ibu bapa.
“Saya ingin menyarankan kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa agar dapat meningkatkan ilmu pengetahuan tentang cara dan kaedah yang tepat tentang penjagaan anak-anak istimewa ini untuk membolehkan anak-anak istimewa ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan sekurang kurangnya boleh berdikari dalam menjalani aktiviti harian,” katanya sewaktu berucap di majlis ini semalam.
Pengerusi PERSIAP Cawangan Penjara Seremban Nor Hafiza Binti Mohd Kauli berkata, program yang dilaksanakan saban tahun ini diharapkan dapat diteruskan untuk tahun yang mendatang agar bantuan dapat disalurkan kepada keluarga agar mereka lebih kuat dan gigih dalam memikul amanah membesarkan anak-anak syurga ini.
“Program seperti ini juga akan menjadi penyuntik semangat kepada ibu bapa anak-anak ini dan secara tidak lansung akan menghasilkan kualiti menjadi kakitangan Penjara Seremban yang lebih baik,” katanya.
Majlis tersebut merupakan lawatan rasmi pertama Datin Hajah Zihana Mohd Zin sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Biro Kebajikan PERSIAP Malaysia bukan sahaja menyalurkan sumbangan kepada anak-anak istimewa tetapi juga kepada ahli-ahli dan anak- anak yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik.
-FF