Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pelaksanaan JENDELA di Perkampungan Orang Asli Cameron Highlands

By 11 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rose Rasidi/Muhammad Arief (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan JENDELA di Cameron Highlands bakal melibatkan jumlah pelaburan melebihi RM200 juta.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, pelaksanaan ini merangkumi 50 menara baharu, 53 naiktaraf stesen pemancar, 4,185 premis dilengkapi dengan gentian optik dan penyediaan jalur lebar satelit di 54 buah perkampungan Orang Asli.

“Kemudahan internet yang baik amat perlu terutamanya untuk memudahkan anak-anak dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta membantu melancarkan perniagaan secara atas talian dalam menjana ekonomi penduduk tempatan.

“Walaupun pembinaan sebuah menara menelan kos yang tinggi, namun kerajaan tetap bertekad untuk meneruskan pembinaan ini di kesemua tempat bagi menenuhi keperluan rakyat,” katanya ketika sesi perjumpaan bersama pemimpin masyarakat Orang Asli dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Telanok POS Telanok, di sini semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada komuniti Orang Asli POS Telanok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada komuniti Orang Asli POS Telanok.

Salah seorang pemimpin tempatan yang ditemui, Tok Batin Cheros Rizad Biyah, berkata pihaknya amat mengalu-alukan dan berterima kasih di atas inisiatif pihak kerajaan membina menara ini.

“Pembinaan menara ini bakal memberi kemudahan internet di kawasan perkampungan Orang Asli di sini.

“Ketika ini hanya liputan 3G yang sering menghadapi masalah talian sahaja yang diterima di kawasan kampung ini dan kami berharap talian yang lebih laju seperti 4G yang disarankan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dapatlah kini berhubung dengan rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain dengan lebih cepat dan pantas.

“Setakat ini kami hanya berhubung secara bersemuka dan penerimaan maklumat-maklumat terkini juga agak lambat diterima berikutan terdapat segelintir rakan-rakan yang tinggal di kampung pedalaman yang langsung tiada talian internet,” ujarnya.

Projek JENDELA ini akan dilaksanakan sehingga penghujung tahun 2022 yang akan diselenggara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia.

-AH-

Tinggalkan komen anda