Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sambutan Maulidur Rasul Memantapkan Jiwa Umat Islam Dalam Menghadapi Cabaran

By 20 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:  Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak)/Pejabat Daerah Tangkak

TANGKAK,  20 Okt (Malaysiaaktif) –  Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak 1443 Hijrah bersamaan Tahun Masihi 2021 disambut secara sederhana namun meriah dalam suasana norma baharu.

Menurut Pegawai Daerah Tangkak Mohammad Shakib Ali, matlamat sambutan ini adalah bagi menzahirkan rasa cinta pada Nabi Muhamad SAW dan menjalinkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam.

“Dengan penganjuran program seumpama ini diharap dapat meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, sekali gus menghayati sirah dan sunah baginda,” katanya ketika ditemui pada program ini di Masjid Bandar Tangkak, di sini, semalam.

Penceramah Maulidurrasul As Syeikh Adam Ibrahim selaku Pegawai Kadi Daerah dalam sesi ceramahnya berkata Al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang mana kitab suci ini masih wujud walaupun Baginda sudah wafat.

“Kita suci Al-Quran menjadi panduan paling utama untuk umat Islam berjaya serta selamat di dunia mahupun di akhirat.

“Akhlak Rasullulah yang mulia sewajarnya menjadi contoh terbaik untuk diaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian seorang muslim,” ujarnya.

Tambah beliau, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja ketua keluarga yang wajar dicontohi malah ketua agama dan ketua di medan perang yang sentiasa berpegang kepada ajaran Allah SWT.

“Umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan selawat dan pujian ke atas Rasulullah SAW sebagai tanda mencintai Baginda di mana kita juga akan beroleh syafaat pada hari kiamat dengan izin Allah SWT,” tambahnya.

Beliau berkata memahami dan meneladani Rasulullah SAW merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam.

Pada program tersebut turut diadakan acara berzanji dan selawat bagi meningkatkan keimanan dan  memupuk perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah SAW yang sentiasa menyayangi dan merindui umatnya.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Ezlan Farid Mohd Said, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

-NI-

Tinggalkan komen anda