Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

16 Syarikat O&G Malaysia Muktamadkan Urus Niaga RM447.13 Juta di ADIPEC Abu Dhabi

By 26 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 16 syarikat minyak dan gas (O&G) Malaysia yang menyertai acara Persidangan dan Pameran Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2021, berjaya memuktamadkan urus niaga bernilai lebih US$100 juta walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19, ketika ini.

Malah, ini merupakan kali ketujuh bagi pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Pavilion Malaysia di ADIPEC yang berlangsung pada 15-18 November, 2021 dan antara pameran perdagangan berkaitan O&G yang terbesar di dunia.

“Lapan daripada 16 syarikat itu mencatatkan penyertaan untuk pertama kali. Selain itu, semua syarikat-syarikat Malaysia menyertai 302 mesyuarat perniagaan, termasuk yang dirancang lebih awal oleh MATRADE dan dapat menjana potensi jualan eksport bernilai RM447.13 juta (US$106.46 juta),” kata MATRADE dalam kenyataan hari ini.

Tiga syarikat berjaya meraih jualan sebenar bernilai RM112.54 juta (US$26.8 juta) menerusi projek-projek baharu dan rakan niaga masing-masing di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Menurut Pengarah O&G, Bahan Kimia dan Tenaga MATRADE, S. Jai Shankar, minat pembeli tertumpu kepada kebanyakan bidang yang mana syarikat O&G Malaysia mempunyai kekuatan seperti fabrikasi peralatan pemprosesan O&G, perkhidmatan kejuruteraan, perkhidmatan mekanikal, penyelesaian kejuruteraan, perkhidmatan pematuhan perlindungan letupan, penyelesaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar selain perkhidmatan pemeriksaan dan pembersihan saluran paip.

Pameran itu turut menyediakan peluang bagi membolehkan pembeli dan penjual bertemu, menimba pengetahuan, menjalin jaringan serta mengetahui produk, penyelesaian serta teknologi dari lebih 2,000 syarikat pempamer.

Ini termasuk 51 syarikat minyak nasional, antarabangsa dan Majlis Industri Tenaga selain 26 pavilion negara global yang menawarkan persekitaran bertaraf dunia bagi perdagangan di sepanjang rantaian nilai industri tersebut.

Berikutan itu, MATRADE turut menganjurkan mesyuarat bagi syarikat-syarikat terbabit mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat minyak nasional di rantau itu seperti Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), Bahrain Petroleum Company (BAPCO) dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco).

MATRADE juga mengadakan mesyuarat dengan rakan strategik seperti Dewan Tenaga Afrika.

Pada masa sama, MATRADE akan terus menyokong serta menggalakkan syarikat-syarikat O&G untuk mengembangkan aktiviti perniagaan yang tidak hanya tertumpu di rantau MENA tetapi di lokasi lain di serata dunia.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda