Laporan/foto: Noor Anis Othman/Mohd Syafiq Md Saad (Padang Terap)
KUALA NERANG, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Pemberian vaksin dos penggalak menerima sambutan memberangsangkan khususnya dari kalangan petugas barisan hadapan daerah ini.
Pemberian dos penggalak atau booster di bawah kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap bersama Pejabat Daerah Padang Terap akan diberi kepada warga daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhammad Omar Mohd Yassim, seramai 300 orang penerima dos penggalak pada hari ini yang datang secara sukarela terdiri daripada barisan hadapan dan juga warga emas.
“Ia membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang sudah menerima dua dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu.
“Bagi individu yang mempunyai komorbid atau yang mahu ke luar negara, mereka boleh mendapatkan suntikan dos penggalak di hospital, klinik kesihatan atau swasta yang terdekat,” ujarnya ketika ditemui pagi ini.
Antara penerima suntikan dos penggalak barisan hadapan pada hari ini terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Padang Terap, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Padang Terap, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Padang Terap dan juga penjawat awam dari pelbagai agensi.
Salah seorang warga emas yang hadir menerima suntikan dos penggalak, Ekiau Ning Riang, berusia, 70, berasal dari Kampun Padang, Naka berkata, dia hadir untuk menerima dos penggalak ini secara sukarela sebagai langkah pencegahan dan juga untuk melindungi dirinya daripada jangkitan Covid-19.
Ekiau menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberi peluang kepada warga emas seperti untuk menjadi salah seorang penerima vaksin dos penggalak pada hari ini.
Dos penggalak diberikan kepada mereka yang telah mendapat imuniti vaksin yang mencukupi selepas vaksinasi lengkap dan pengambilannya disarankan bagi meningkatkan perlindungan daripada jangkitan COVID-19.
~RJ~