Laporan/foto: Rose Rasidi (Cameron Highlands)/Perpustakaan Awam Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Memupuk budaya membaca menjadi matlamat utama Book For Life yang diwujudkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang sejak tahun 2019.
Menurut Ketua Perpustakaan Daerah Cameron Highlands Rosniza Elias, Book for Life ini juga merupakan mini perpustakaan yang ditempatkan di kawasan yang terdapat ramai pengunjung dan terbuka yang mana ia turut mengandungi pelbagai bahan bacaan untuk semua peringkat umur.
“Book for Life membawa konsep di mana para pengunjung boleh mengambil sebuah buku dan tinggalkan sebuah buku sebagai perkongsian bahan dan sumbangan.
“Ia juga turut tidak mempunyai tarikh pemulangan buku, tiada denda lewat, tidak memerlukan keahlian dan dibuka setiap hari seminggu, 24 jam sehari,” katanya ketika ditemui di tapak pelancaran projek BFL di Dataran Pertabalan, di sini, semalam.
Tambah beliau, penganjuran ini menyasarkan seluruh lapisan masyarakat di negeri ini.
“Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikan Pelancaran Rumah Kecil ‘Book For Life’ di Dataran Pertabalan Tanah Rata yang mana projek ini merupakan satu usaha bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan lebih santai yang bertemakan Anywhere, Anytime, Anyone,” ujarnya.
Pada majlis ini, Menteri Besar turut mengadakan lawatan dan merasmikan Galeri Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Perpustakaan Awam Cameron Highlands yang mempamerkan koleksi-koleksi peribadi bukunya, foto-foto serta lakaran peta negeri Pahang yang melambangkan identitinya sebagai Menteri Besar.
Galeri Menteri Besar Pahang berada di aras bawah Perpustakaan Awam daerah Cameron Highlands dan boleh dilawati oleh pengunjung pada hari Isnin hingga Khamis pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang, manakala pada hari Jumaat dari pukul 9.00 pagi hingga 12.15 tengah hari.
-AH-