Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Mangkuk Tingkat Simbolik Keluarga Malaysia

By 21 November 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Intan Saziana/Rose Rasidi (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Mangkuk tingkat atau sesaji sehidang menjadi simbolik Keluarga Malaysia yang diketengahkan dalam majlis sambutan Bulan Keluarga Malaysia (BKM 2021) Peringkat Negeri di Dataran Pertabalan Cameron Highlands Tanah Rata.

Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pelancaran Keluarga Malaysia ini secara tidak langsung mencerminkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Ini sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Menteri Besar Pahang berucap merasmikan majlis Sambutan Bulan Keluarga Malaysia di Tanah Rata Cameron Highlands, semalam.

Menteri Besar Pahang berucap merasmikan majlis Sambutan Bulan Keluarga Malaysia di Tanah Rata Cameron Highlands, semalam.

“Apabila amalan ini dipupuk ianya dapat meningkatkan lagi perpaduan, pembangunan dan sosioekonomi antara Keluarga Malaysia yang mana seperti kita sedia maklum, keluarga ialah institusi utama dalam kewujudan sesebuah negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Projek Book For Life di Dataran Pertabalan, di sini, semalam.

Tambah beliau, setiap keluarga yang hadir ke program ini dibekalkan dengan mangkuk tingkat yang mana ianya sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu mewujudkan perpaduan, kerjasama, keharmonian, saling hormat-menghormati dan saling melengkapi di antara satu sama lain.

LPPKN turut membuka kaunter pemeriksaan kesihatan untuk para pengunjung.

LPPKN turut membuka kaunter pemeriksaan kesihatan untuk para pengunjung.

Salah seorang pengunjung yang ditemui Rohaidah Zainal Abidin berkata sambutan Keluarga Malaysia pada tahun ini melibatkan pelbagai latar belakang termasuklah ahli-ahli Kelab Rukun Tetangga.

“Penganjuran program seumpama ini mampu merapatkan lagi ukhwah antara Kelab Rukun Tetangga dan kelab-kelab yang lain.

“Sekiranya sambutan Keluarga Malaysia seperti ini dilaksanakan lagi pada tahun hadapan, saya berharap akan lebih banyak penyertaan akan diterima dari kelab-kelab atau keluarga-keluarga daripada pelbagai kaum di sini,” ujarnya.

Pada program ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna di antara keluarga, pertandingan gambar kreatif keluarga di photo booth, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan aktiviti sukaneka.

Aktiviti yang dianjurkan bertujuan bagi memastikan setiap keluarga sihat mengikuti objektif Keluarga Malaysia iaitu K.A.S.I.H yang merangkumi kasih sayang, akhlak atau pun peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu dan harmoni sebagai nilai yang perlu ada di dalam setiap ahli keluarga.

-AH-

Tinggalkan komen anda