Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)
KUCHING, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Kemahiran dan pengetahuan dalam pengurusan projek amat diperlukan untuk kecemerlangan dalam mengurus tadbir projek yang telah diluluskan untuk Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Negeri (RMK12).
Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata penyampaian projek yang berjaya terletak pada pemahaman yang baik tentang pengurusan projek dan mematuhi sepenuhnya proses yang telah ditetapkan serta melaksanakannya dengan berkesan.
“Pengurusan projek yang berkesan boleh mengelakkan kesilapan dan pembaziran sumber serta mengurangkan kos penyelenggaraan dengan ketara kerana pengurus projek boleh menjangka masalah dan membuat perancangan untuk mengurangkannya atau membuat penambahbaikan untuk mengelakkan kelewatan projek.
“Saya menyarankan supaya peserta kursus pada hari ini berusaha menimba ilmu dan kemahiran dalam pengurusan projek,” katanya semasa merasmikan kursus Projek Pasca Kontrak Pengurusan untuk Kecemerlangan Penyampaian Projek di sebuah hotel, di sini hari ini.
Menurut Lee, selaku pegawai muda, dinasihatkan agar mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang ini bagi meningkatkan hasil projek negeri dengan kualiti atau mengikut skop kerja, ketepatan masa dan keberkesanan kos.
“Matlamat utama adalah projek yang telah siap mestilah berbaloi dan akhirnya memberi manfaat kepada kumpulan sasar seperti yang dirancang,” jelasnya.
Lee memaklumkan bahawa kursus ini dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak dan dibimbing oleh jurutera kanan, Ir. Tiong King Wei yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam pengurusan projek.
“Tiong merupakan seorang jurutera yang bertauliah dan mengetuai pasukan di kementerian untuk merangka dasar dan garis panduan untuk menguruskan projek pasca kontrak,” tambah Lee.
-ZS-