Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pembiayaan Jangka Masa Panjang Perubahan Iklim Antara Keputusan Utama UNFCCC COP-26

By 14 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/KASA

PUTRAJAYA, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC – COP) memuktamatkan lima keputusan utama yang antaranya merupakan pembiayaan jangka masa panjang perubahan iklim.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengalu-alukan keputusan UNFCCC COP-26 yang membolehkan pelaksanaan Perjanjian Paris.

“Keputusan ini adalah penting bagi menyokong usaha pada peringkat global bagi memastikan matlamat mengehadkan pemanasan global pada tahap 1.5 darjah celcius tercapai.

“Adalah penting bagi negara untuk melaksanakan segera keputusan-keputusan tersebut dan KASA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara inklusif dan holistik bagi mencapai Sumbangan Ditentukan Nasional (NDC) negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan antara keputusan utama lain yang dipersetujui di persidangan tersebut adalah melibatkan modaliti, garis panduan dan program kerja di bawah Artikel 6 yang melibatkan garis panduan bagi mekanisme pasaran karbon dan mekanisme bukan pasaran.

“Kita juga bersetuju kepada format pelaporan bagi inventori gas rumah hijau (GHG), pemantauan pencapaian NDC, pelaporan dana yang diberi dan diterima, pelaporan Laporan Ketelusan Biennial (BTR) serta pembangunan kapasiti di bawah Artikel 13.

“Mesyuarat ini turut melancarkan pelaksanaan program kerja komprehensif mengenai Global Goal on Adaption bermula tahun 2022 di bawah Artikel 7 dan tempoh masa sepunya pelaksanaan NDC dibawah Artikel 4 iaitu menggalakkan NDC dikemukakan setiap lima tahun dengan tempoh masa pelaksanaan selama 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, seramai 24 orang pegawai daripada pelbagai kementerian dan agensi persekutuan yang diketuai oleh wakil kementerian telah hadir ke mesyuarat tersebut bagi merundingkan agenda utama persidangan ini.

“Pendirian negara telah dibincangkan dan diluluskan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda