Laporan/foto: Melanie Marcellina J Kinjawan (Beluran)
BELURAN, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Pihak Pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran 2 kini bersedia menerima kehadiran semula murid-murid pada pembukaan penuh sesi persekolahan yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini.
Pengetuanya Latipah Tahir, berkata pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya menerima kehadiran semula para murid dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
“Pihak sekolah telahpun mengimplementasikan SOP yang bersesuaian terutama kepada murid tingkatan lima agar mereka sentiasa mendisiplinkan diri untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Setakat ini peratus vaksinasi bagi murid tingkatan lima di sekolah ini telah mencapai 94 peratus manakala murid tingkatan satu hingga tingkatan empat melebihi 92 peratus, jadi tidak ada isu besar untuk mereka kembali ke sekolah,
“Diharap dengan pembukaan penuh sesi persekolahan ini akan mengubati kerinduan para murid yang sudah sekian lama tidak bersua dan beriteraksi secara bersemuka dengan rakan-rakan dan guru-guru setelah hampir setahun menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, murid tingkatan lima Romanuel Robinson, 17, berpendapat bahawa sesi pembelajaran secara bersemuka lebih efektif berbanding secara PdPR kerana adanya interaksi komunikasi secara menerus antara guru dan murid.
“Proses PdPR kadangkala membuatkan pelajar hilang tumpuan.
“PdPR kerap mendatangkan masalah seperti murid mudah leka kerana guru sukar memantau selain masalah gangguan capaian internet serta gangguan-gangguan lain di rumah dan ini menjadi kekangan buat murid untuk memberi penumpuan sepenuhnya dalam sesi pembelajaran,” katanya.
-RI