Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jualan #KeluargaMalaysia Bantu Ringankan Beban Rakyat

By 19 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Penganjuran Jualan #KeluargaMalaysia mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan baru-baru ini.

Program ini yang dianjurkan serentak di seluruh negara mengikut Parlimen mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut pekerja Target Supermarket Parit Raja, Nurul Nadia Hashim, 23, para pelanggan mula hadir ke pasar raya ini pada pukul 8.00 pagi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Orang ramai hadir ke Program Jualan #KeluargaMalaysia seawal pukul 8.00 pagi lagi.

Orang ramai hadir ke Program Jualan #KeluargaMalaysia seawal pukul 8.00 pagi lagi.

“Hanya sepuluh orang sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan jualan Keluarga Malaysia dan dihadkan pembelian kepada dua unit bagi setiap keluarga.

“Jualan yang berlangsung selama dua hari ini dibuat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu bermula pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja yang mana selepas tempoh masa tersebut, harga akan berubah seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Target Supermarket Parit Raja, di sini, semalam.

Seorang suri rumah, Rashidah Ahmad, 56, yang ditemui berkata beliau datang awal ke pasar raya ini bagi mengambil peluang untuk membeli barang keperluan dengan harga yang murah.

Jualan murah ini hanya akan berlangsung dalam tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu bermula pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja - Nurul Nadia

Jualan murah ini hanya akan berlangsung dalam tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu bermula pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja – Nurul Nadia

“Penganjuran program seumpama ini merupakan langkah terbaik untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

“Saya amat berharap program ini dapat diadakan dua kali sebulan bagi membantu meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Di daerah ini, terdapat empat lokasi utama bagi Jualan #KeluargaMalaysia iaitu di Target Supermarket Air Hitam, Target Supermarket Parit Raja, Target Supermarket Batu Pahat dan Pasar Raya Angkasa Parit Sulong.

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang diadakan di setiap Parlimen bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan harga barangan asas terutama makanan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan pelbagai keperluan harian.

-NI-

Tinggalkan komen anda