Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Meningkat kepada 2,897 Kes

By 29 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Kes COVID-19 mencatatkan sedikit peningkatan semalam dengan 2,897 kes berbanding 2,757 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,746,833.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, hanya 50 kes dalam kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Kes harian itu melibatkan 2,705 kes tempatan dan 192 kes import. Sebanyak 302 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 169 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,434 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,673,084.

Empat kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 226 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.93 setakat kelmarin.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 434 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan 14 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3 petang semalam.

Bagaimanapun, katanya tiada kluster baharu yang dilaporkan semalam dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

Beliau berkata sebanyak 78 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (53 kes), penyakit kulit (17), Acute Gastroenteritis (AGE) (empat), penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) (dua) dan konjunktivitis (dua).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda