Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KKM Segerakan Pembaikan Klinik Kesihatan Terjejas Banjir

By 30 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Kerja-kerja pembaikan klinik kesihatan (KK) dan fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir kini sedang disegerakan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata keutamaan KKM adalah memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan terjejas dapat bersambung semula secepat mungkin.

“Memang banyak klinik kesihatan dan fasiliti kesihatan di bawah KKM yang terjejas dan ditutup akibat banjir. Kita belum mendapat anggaran kerugian, tetapi kita telah bergerak memperbaiki kemudahan yang rosak agar klinik dapat dibuka segera untuk pesakit mendapat kemudahan perubatan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau tiga klinik kesihatan yang terjejas akibat banjir di kawasan Hulu Langat, Selangor hari ini, iaitu KK Hulu Langat Batu 14, Klinik Desa Dusun Tua dan Klinik Desa Batu 18.

Sebelum ini KK Hulu Langat ditutup seminggu dan kini telah dibuka semula untuk menerima pesakit., manakala dua lagi klinik masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan dijangka dibuka minggu depan.

Dr Noor Azmi berkata KKM sentiasa bersiap siaga bagi mendepani penyakit berjangkit bawaan air seperti kencing tikus dan penyakit kulit yang biasanya akan muncul ketika musim banjir.

“Walaupun kita tidak menerima sebarang laporan penyakit tersebut di tahap yang kritikal tetapi kita telah lengkapkan fasiliti kesihatan di kawasan terjejas dengan bekalan ubat-ubatan sesuai untuk persediaan mengawal penyakit tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda