Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pengunjung Belajar Cara Tanam Pokok pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

By 12 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: JPSM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Orang ramai mengambil peluang mempelajari cara-cara menanam pokok dalam sesi taklimat program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 pada hari ketiga Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Pada sesi taklimat yang dianjurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dari 4 petang hingga 6 petang itu, kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melakukan demonstrasi langkah menanam pokok.

Program itu juga memberi taklimat kepada orang ramai berkenaan penggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia bagi merekodkan jumlah pokok yang ditanam.

Selain aplikasi itu, laman sesawang khas juga boleh dicapai melalui pautan www.100jutapokok.gov.my oleh semua agensi kerajaan, swasta dan orang awam bagi merekodkan data penanaman pokok sama ada mewakili agensi mahupun individu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM Datuk Zahari Ibrahim hadir bersama kira-kira 120 pengunjung meliputi orang awam dan juga pelajar institusi pengajian tinggi pada program itu.

Program Penghijauan Malaysia bermula dari tahun ini hingga 2025 dan dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan kepelbagaian biologi negara.

Satu ekar (0.4 hektar) tanah diliputi pokok dengan dedaun menghijau mampu membebas gas oksigen yang boleh menampung penafasan sebanyak 18 orang selama satu tahun.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari sejak 9 Disember dari 9 pagi hingga 10 malam.

Program anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda