Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Produk Inovasi Pelajar PMM Setaraf Hasil Industri

By 31 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Rozer Masudin/Mohd Shaiful Hasnor (PMM)

MERLIMAU, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) memberikan ruang kepada pelajar semester akhirnya untuk mengetengahkan produk ciptaan mereka sempena hari inovasi institut tersebut selari dengan visi politeknik sebagai peneraju institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang unggul.

Menurut pengarahnya Mohd Hatta Zainal, menerusi penganjuran hari inovasi kali ini, sebanyak 59 produk inovasi pelajar telah dipertandingkan yang mewakili jabatan masing-masing iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam (12 penyertaan), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (13 penyertaan), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (tujuh penyertaan), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (14 penyertaan) dan bagi Jabatan Perdagangan sejumlah 13 penyertaan.

“Melalui penyelidikan dan inovasi ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang atau program yang mereka ceburi sekali gus memberi nilai tambah apabila berada di pasaran pekerjaan kelak.

Nurul Liyana (tiga dari kiri) menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Mohd Hatta. Turut bersama Izalisa (kanan).

Nurul Liyana (tiga dari kiri) menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Mohd Hatta. Turut bersama Izalisa (kanan).

“Menerusi program ini, PMM mengiktiraf pelajar dan tenaga pengajarnya menerusi beberapa kategori antaranya Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Sosial dimenangi oleh Nurul Liyana Mat Zaik bersama pensyarahnya Izalisa Ahmad dengan tajuk projek ‘Homeless Transit Centre 1’ manakala bagi Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Fizikal pula dimenangi oleh kumpulan pelajar yang diketuai oleh Muhammad Khairil Amri Suhaimi bersama pensyarahnya Izatul Syazreen Mohd Ismail dengan produk inovasi ‘D’Innovation of Ecohaqiba’,” katanya ketika ditemui sempena majlis penutupan PERKAYA Inovasi di Dewan Platinum PMM, di sini semalam.

Pensyarah Program Senibina Jabatan Kejuruteraan Awam PMM Izalisa Ahmad, berkata beliau memberi kebebasan penuh kepada pelajarnya untuk mencari idea bagi berkarya sekali gus memberi ruang sepenuhnya kepada pelajar untuk menghasilkan inovasi berdasarkan kaca mata mereka.

“Saya ingin memberi kredit terhadap pelajar saya kerana berjaya menghasilkan satu reka bentuk yang dapat menarik hati juri iaitu reka bentuk bagi bangunan pusat transit gelandangan kepada penduduk di bandar.

“Antara tujuan pembinaan seni bina bangunan ini ialah bagi menarik perhatian kepada pelancongan dan masyarakat setempat di Bandar Kota Bharu Kelantan, di mana reka bentuk baharu ini mengikut konsep simplicity modernist yang menambah pendekatan moden terhadap kawasan warisan tetapi pada masa yang sama menghargai persektiaran warisan.

“Dalam konsep moden ini, teknologi hijau telah diterapkan ke dalam reka bentuk bangunan seperti taman atas bumbung dan dinding kaca sebagai cahaya semula jadi,” ujar beliau.

Sementara itu, penasihat bagi Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Fizikal Izatul Syazreen, berkata produk inovasi ‘D’Innovation of Ecohaqiba’ yang dihasilkan oleh pelajarnya merupakan produk penghasilan beg berkonsepkan bumi hijau iaitu menggunakan sepenuhnya pelitup muka sebagai bahan utama menghasilkan beg tersebut.

“Idea ini tercetus apabila saya bersama kumpulan pelajar yang diketuai oleh Muhammad Khairil melihat banyak pelitup muka dibuang begitu sahaja sehingga memberikan penambahan kepada masalah isu alam sekitar, maka daripada situ timbul idea bagi memanfaatkan pembaziran ini.

“Para pelajar juga telah mengadakan perbincangan lanjut dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan teknologi hijau dalam merealisasikan konsep produk ini,” katanya ketika ditemui.

-FF

Tinggalkan komen anda