Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Program OKU Bersama Masyarakat Tingkat Kesedaran Kesaksamaan

By 17 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:Nor Emylia Lot/ Tengku Saipulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Dalam usaha menyelami keadaan golongan kurang bernasib baik terutama Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, pelbagai program dilaksanakan bersama masyarakat setempat.

Ini bertepatan sempena sambutan Hari OKU Sedunia 2021 yang disambut pada bulan Disember setiap tahun.

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), Dewan Undangan Negeri (DUN), Seberang Takir mewujudkan pelbagai program yang melibatkan golongan tersebut.

Penolong Penyelia, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Jamilah Abdullah berkata program pertandingan memasak dan pencarian ‘blind chef’ pada kali ini adalah salah satu usaha mendidik masyarakat setempat memahami kekurangan golongan tersebut.

Jamilah Abdullah mengharapkan masyarakat sentiasa peka dan sedar golongan OKU ini adalah golongan yang memerlukan sokongan penuh komuniti di dalam pelbagai sektor kehidupan.

Jamilah Abdullah mengharapkan masyarakat sentiasa peka dan sedar golongan OKU ini adalah golongan yang memerlukan sokongan penuh komuniti di dalam pelbagai sektor kehidupan.

“Seramai 13 peserta yang terdiri daripada golongan OKU cacat penglihatan terlibat di dalam pertandingan ini dan tiga peserta lagi adalah peserta normal,” katanya ketika ditemuramah di sini, semalam.

“Penganjur memilih tiga peserta yang terdiri daripada ahli komuniti setempat bagi memberi peluang kepada mereka untuk merasai dan menjiwai kekurangan deria penglihatan seperti golomgan OKU yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, peserta pertandingan bagi kategori kehilangan penglihatan sepenuhnya, Zor Ab Ghani, berkata inisiatif dilakukan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya OKU dapat menjalani kehidupan baik seperti orang normal amat disanjungi kerana majoriti golongan masih berasa mereka dipinggirkan.

“Golongan ini mempunyai harapan supaya kekurangan mereka tidak lagi diperlekehkan dan menjadi satu beban kepada komuniti, sebaliknya mereka mahu menjadi sebahagian daripada barisan penggerak dan penyumbang kepadakemajuan negara,” katanya.

Zor Ab Ghani sentiasa positif dengan keadaan beliau dan berazam mahu bersama-sama bersaing maju dengan kelompok komuniti yang lain.

Zor Ab Ghani sentiasa positif dengan keadaan beliau dan berazam mahu bersama-sama bersaing maju dengan kelompok komuniti yang lain.

Di samping itu, peserta pertandingan kategori orang awam, Arma Muda, berkata beliau bertuah kerana diberi peluang untuk menyertai pertandingan istimewa berkenaan bersama-sama golongan kelainan itu.

“Saya menyertai pertandingan berkenaan bagi menyelami kesulitan yang dialami golongan kurang bernasib baik terutama OKU penglihatan di dalam kehidupan seharian mereka terutamanya ketika mereka memasak,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan, penganjur menyediakan hadiah berupa wang tunai dan hadiah berupa hamper barangan keperluan harian untuk pemenang pertandingan.

Tinggalkan komen anda