Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

TPB2030 Garis Enam Sasaran Utama

By 6 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: TERAJU

PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Enam sasaran utama digariskan dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) untuk dicapai menjelang 2030 menerusi tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) itu terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.

Perdana Menteri berkata usaha ini adalah inisiatif kerajaan dalam membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan sosioekonomi dan seterusnya memperkasakan agenda bumiputera dinaungi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

“Walaupun bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, namun status sosioekonomi bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika melancarkan TPB2030 di Kuala Lumpur hari ini.

Enam Sasaran TPB2030 adalah Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) Perusahaan Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada KDNK bernilai RM438 bilion, Gaji Upah pada kadar RM5,169.12, Pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68, Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65, Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda