Laporan/foto: Suhaizad Abd Samad/T. Fadir T. Yusof (Rompin)
ROMPIN, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah jalan utama Bahau-Keratong perlu dinaiktaraf di masa akan datang berikutan ia boleh digunakan sebagai laluan alternatif ke negeri ini sekiranya laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) terputus akibat bencana.
“Saya harap satu kajian dapat dijalankan dan diberi perhatian untuk jangka panjang kerana apabila terputusnya laluan LPT, laluan ini menjadi jalan utama sewaktu berlakunya musim tengkujuh ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat daripada Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek sewaktu keberangkatan tiba ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Keratong 2.
Baginda turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Baginda turut bertitah agar semua mangsa banjir di negeri ini dan seluruh negara secara amnya untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, kebersihan diri dan persekitaran PPS.
“Sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan sepanjang berada di PPS,” titah Baginda lagi.
Baginda juga berharap agar segala keperluan asas mangsa-mangsa banjir dapat diberikan sepanjang berada di PPS.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussin, ADUN Muadzam Shah Ir. Razali Kassim dan ADUN Bukit Ibam Datin Samsiah Arshad.
Setakat jam 12.00 tengahari semalam, sebanyak lapan buah PPS telah dibuka di daerah ini dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir seramai 443 orang yang melibatkan 127 keluarga.
-AH-