
Laporan/foto : Hamidah Md Drus/Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Kesemua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini iaitu PPS Dewan Desa Dangi dan PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah yang menempatkan mangsa banjir ditutup sepenuhnya semalam.
Pembukaan dua PPS pada 2 Januari adalah susulan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dinaiki air melebihi satu meter akibat hujan berterusan lebih 12 jam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Johol, Saiful Yazan Sulaiman, seramai 119 orang ditempatkan di PPS Dewan Desa Dangi. Mangsa yang terlibat adalah dari Rumah Rakyat Kuala Johol, Kampung Changgang, Kampung Geduhom, Kampung Tulang Rimau dan Kampung Air Taling.
“Segala bentuk bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan seperti Bantuan Wang Ihsan, kerosakan rumah, vaucer barangan elektrik dan sebagainya akan diusahakan secepat mungkin oleh pihak Pejabat ADUN dengan bantuan agensi yang terlibat.
“Dengan penutupan PPS ini diharap semua mangsa boleh memulakan semula kehidupan seperti biasa dan tidak dilupakan untuk sentiasa menjaga kesihatan. Terima kasih kepada pihak yang terlibat seperti anggota polis, Angkatan Pertahahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pihak yang terlibat dalam mengatasi masalah banjir ini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu di PPS SK Kuala Pilah seramai 43 orang telah pun kembali ke rumah masing-masing. Antara lokasi mangsa yang terlibat adalah Kampung Kuala Gentam, Kampung Sawah Lebar, Kampung Tanjung Jati dan Taman Fatimah Permai.
Menurut mangsa yang ditemui banjir pada kali ini adalah yang terburuk sepanjang mereka menetap di situ. Namun beliau bersyukur di atas kepantasan pihak berkuasa operasi bencana yang segera menyalurkan bantuan sebaik sahaja air berada paras amaran.
-FF