Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hanya 4,227 Permohonan Bantuan Automotif Diterima Secara Dalam Talian

By 30 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Hanya 4,227 permohonan bantuan automotif dengan nilai anggaran tuntutan RM5.47 juta diterima daripada mangsa banjir di seluruh negara menerusi portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my setakat ini, sejak dilancarkan pada 18 Januari lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata jumlah itu dilihat masih sedikit walaupun tidak mengambil kira mereka yang membuat permohonan manual, namun beliau berharap mereka yang belum berbuat demikian untuk segera melakukannya sebelum tarikh tutup pada 31 Mac ini.

“Mangsa yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir harus peka dan memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan yang bertujuan meringankan beban ditanggung mereka dalam kerosakan disebabkan bencana itu,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bank Simpanan Nasional (BSN) Komuniti Mikro dan Kemudahan Perbankan di Sungai Lembing, Pahang yang membolehkan penduduk sekitar menikmati kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bermula semalam..

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BSN Jay Khairil Jeremy.

Mengambil iktibar daripada pengalaman banjir besar baru-baru ini, Mohd Shahar berkata Bank Negara akan berbincang dengan pihak insurans dan takaful untuk meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengambil perlindungan insurans bagi bencana banjir.

“Ini juga melibatkan perancangan untuk keperluan industri terlibat menyediakan perlindungan komprehensif pada harga yang lebih mampu milik,” katanya.

Untuk rekod, Mohd Shahar berkata hanya 16 peratus atau 1.8 juta kenderaan mempunyai perlindungan insurans atau takaful komprehensif termasuk untuk banjir.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda