Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

IHP Disember 2021 Naik 3.2 Peratus

By 21 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Infografik Jabatan Perangkaan

PUTRAJAYA, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Disember 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 (1.9 peratus).

“Selain daripada peningkatan kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (3.2 peratus) dan kumpulan Pengangkutan (9.5 peratus), kadar inflasi 3.2 peratus pada Disember 2021 didorong oleh kenaikan harga kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.4 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (2.7 peratus) serta Restoran dan Hotel (1.3 peratus),” katanya.

Beliau berkata peningkatan indeks harga kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol disebabkan harga bahan mentah yang lebih tinggi bagi penyediaan makanan di rumah seperti daging (8.3 peratus); susu, keju dan telur (5.5 peratus); sayur-sayuran (5.0 peratus); minyak dan lemak (4.4 peratus) serta ikan dan makanan laut (4.2 peratus).

Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam daging meningkat 13.6 peratus dan merekodkan purata harga RM9.54 per kilogram berbanding RM8.40 pada Disember 2020.

Telur yang merupakan salah satu lagi sumber protein mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 13.5 peratus pada Disember 2021 manakala susu pula meningkat 3.0 peratus.

Mohd Uzir berkata hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti di Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Disember 2021 susulan peralihan Monsun Timur Laut telah mendorong kenaikan harga makanan terutamanya sayur-sayuran dan ikan serta makanan laut.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang 7 hingga 31 Disember 2021 telah meredakan inflasi kumpulan ini.

Katanya peningkatan indeks harga kumpulan Pengangkutan yang lebih perlahan berbanding November 2021 (12.7 peratus) disebabkan harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Disember 2020 yang telah naik kepada RM1.74 seliter telah mengecilkan perbezaan antara harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mac 2021 (RM2.05).

“Pada tahap tertentu, ia telah meredakan inflasi negara berbanding bulan sebelumnya (November 2021: 3.3 peratus),” katanya.

Beliau berkata semua negeri menunjukkan peningkatan IHP apabila lapan negeri melepasi paras inflasi nasional 3.2 peratus.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.9 peratus) manakala Sarawak (2.5 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.3 peratus) serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.0 peratus) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.

Mohd Uzir berkata inflasi teras telah mencatatkan peningkatan 1.1 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah iaitu 2.7 peratus.

“Inflasi tanpa bahan api meningkat 2.0 peratus pada Disember 2021 kepada 115.1 berbanding 112.8 pada bulan sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, katanya IHP bagi suku keempat 2021 meningkat 3.2 peratus kepada 124.1 berbanding 120.3 pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.2 peratus berbanding suku ketiga 2021,” katanya.

Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir berkata IHP meningkat 0.4 peratus berbanding November 2021.

Beliau juga berkata kadar inflasi tahunan pada 2021 menunjukkan peningkatan 2.5 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada 2020.

“Peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda