Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

28 Kakitangan PSA Terjejas Banjir Terima Sumbangan

By 21 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 28 pegawai dan kakitangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) yang terjejas akibat banjir Disember lalu menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Timbalan Pengarah PSA, Ts Roseman Mat Jidin, berkata ketika kejadian banjir tahun lalu PSA telah membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak 18 Disember hingga 26 Disember untuk menempatkan 482 orang mangsa.

“Pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta orang awam turut memberikan sumbangan.

Kita juga menerima sokongan yang padu daripada seluruh politeknik dan kolej komuniti dengan memberikan bantuan sama ada kewangan, keperluan harian, peralatan mahupun tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis PSA Prihatin: Program Sumbangan Pasca Banjir di Anjung Bestari, PSA di sini hari ini.

Sempena program tersebut, kakitangan PSA terlibat menerima sumbangan berbentuk wang tunai, makanan dan barang keperluan harian.

Program menyantuni mangsa banjir merupakan sebahagian daripada program ‘PSA Prihatin: We Care We Share’ bertujuan membantu dan meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Antara inisiatif yang diambil termasuk melaksanakan operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada kakitangan, pelajar dan komuniti setempat di kawasan-kawasan terjejas.

Sementara itu Pengurus YaPEIM Negeri Selangor, Che Nor Azila Che Ghani, berkata semakan menunjukkan seramai 161 kakitangan PSA menyumbang secara tetap setiap bulan ke dalam tabung YaPEIM menerusi Skim Potongan Gaji (SPG).

“Pihak YaPEIM berterima kasih kepada para penyumbang selain dana korporat yang membolehkan program-program YaPEIM digerakkan dalam membantu mereka yang memerlukan di seluruh Malaysia,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda