Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Kenal Pasti Inisiatif Sokong Pembangunan Mobiliti Patuh ESG

By 13 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah mengenal pasti beberapa inisiatif untuk menyokong penggunaan teknologi maju yang akan membantu pembangunan mobiliti yang mematuhi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata menyepadukan elemen ESG dalam perniagaan merupakan keperluan yang semakin meningkat yang dapat memacu pewujudan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan dan menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju.

“Sebagai langkah holistik, Pasukan Petugas Kenderaan Elektrik (EV) antara Kementerian peringkat Kebangsaan yang diketuai oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga telah ditubuhkan dengan mandat untuk bertindak sebagai platform membincangkan strategi dan pelaksanaan langkah-langkah untuk memacu pembangunan EV dan keseluruhan ekosistemnya di seluruh negara.

“Rangka kerja pelaburan nasional baharu yang berdasarkan ESG, akan memberi tumpuan kepada menarik kerumitan ekonomi tinggi dan industri berteraskan teknologi yang termasuk mobiliti generasi akan datang,” katanya dalam ucapan pada acara NEXTGen Malaysia anjuran BMW Group Malaysia.

Mohamed Azmin berkata masih terdapat ruang yang luas untuk pengembangan pasaran EV yang lebih baik terutamanya di rantau ASEAN.

Sehubungan itu, katanya rantau ini perlu menangani tahap kematangan teknologi yang rendah, yang menyebabkan kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan sokongan infrastruktur dan penerimaan pasaran yang terhad.

Bagi Malaysia, katanya usaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan meletakkan negara di landasan yang betul untuk menjadi peneraju serantau dalam sektor mobiliti generasi akan datang telah diterjemahkan melalui pengenalan beberapa dasar dan inisiatif yang kukuh.

Ini termasuk Dasar Automotif Nasional, Dasar Pengangkutan Negara dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon, yang akan mewujudkan ekosistem yang kukuh dan komprehensif untuk menggalakkan pembuatan dan pemasangan kenderaan cekap tenaga.

“Fokus kerajaan bukan sahaja untuk menarik dan menggalakkan pelaburan dalam industri pembuatan dan pemasangan kereta termasuk alat ganti dan komponen yang berkaitan dengan kenderaan generasi akan datang, malah untuk mengiktiraf keperluan menggalakkan permintaan daripada pengguna.

“Bagi mendukung hasrat ini, beberapa insentif telah diumumkan dalam Bajet 2022 termasuk pengecualian cukai untuk pengimportan dan pemasangan EV, pengecualian cukai jalan dan rebat cukai untuk pemasangan pengecas rumah EV,” katanya.

Beliau berkata daya tahan industri automotif berkait rapat dengan bekalan alat ganti elektrik dan elektronik yang berterusan dan tidak terganggu serta komponen terutamanya Litar Bersepadu (IC).

“Walaupun terdapat gangguan minimum pada pengeluaran kenderaan global yang terjejas oleh kekurangan IC sebelum ini, penyetempatan pembuatan atau pemasangan EV boleh memanfaatkan kehadiran penting industri semikonduktor di negara ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda