Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Turun kepada 4,915 Kes

By 31 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu harian COVID-19 dalam negara menurun kepada 4,915 kes semalam, selepas mencatatkan angka melepasi 5,000 untuk tiga hari berturut-turut, menjadikan jumlah kumulatif 2,865,984 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 39 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Daripada 4,915 kes itu, sebanyak 188 adalah kes import dan 4,727 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 120 kes dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19 semalam.

Beliau berkata sebanyak 3,056 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,780,771 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kluster baharu direkodkan dengan 301 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.14 dengan Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.20 setakat kelmarin.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda