
Laporan/foto : Abd Aziz Osman
(Seberang Perai Utara)
SUNGAI DUA, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat muhibah dalam kalangan penduduk di sekitar Sungai Dua , Komuniti Keluarga Malaysia dijadikan sebagai platform dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Penasihat Komuniti Keluarga Malaysia Sungai Dua Jaya, Dato Haji Yusuf Mohamad Noor berkata Komuniti Keluarga Malaysia merupakan salah satu medium terbaik dalam usaha menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Platform sebeginilah yang sesuai dijadikan medium perantaraan antara komuniti setempat dalam usaha memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain.
“Di Sungai Dua, peranan komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan mula digerakkan melalui aktiviti kayuhan amal dan uniknya, kayuhan pada kali ini menggunakan basikal klasik.
“Tujuan kami melaksanakan aktiviti sebegini adalah bagi melahirkan sifat kerjasama dan muhibah antara komuniti di samping mengimbau kembali nostalgia kenangan lama yang mana suatu ketika dahulu basikal merupakan kenderaan yang sangat popular digunakan bagi urusan kerja seharian,”katanya.
Difahamkan, basikal klasik tersebut diperoleh menerusi Fauzi Ismail, 61, yang merupakan penduduk tempatan dan pengumpul basikal klasik.
Hampir 70 basikal klasik berjaya dibekalkan oleh beliau dan peserta aktiviti turut disaran memakai pakaian yang bertemakan era 50-an.