Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MAFI Giat Usaha Eksport Sarang Burung Walet Gua ke China

By 15 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mempergiat usaha bagi meningkatkan potensi eksport sarang burung walet (SBW) gua ke China dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia bagi memastikan produk hasilan negara itu dipasarkan di China dengan nilai sebenar yang boleh mencecah sehingga RM20,000 sekilogram sekiranya menepati tahap kualiti yang dipastikan selamat dimakan serta mempunyai daya jejak.

“Hasil pengeluaran SBW daripada gua adalah sebanyak 40 hingga 60 tan metrik setahun. Potensi SBW gua adalah tinggi kerana harga sarang burung walet mentah gua belum bersih (EBN-RUC) adalah sekitar RM8,000 sekilogram.

“China merupakan negara pengguna SBW gua terbesar di dunia dengan permintaan sebanyak 80 tan metrik setahun. Ketika ini, SBW gua mentah belum bersih negara hanya dieksport ke Hong Kong, Taiwan dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MAFI semalam.

Dalam kenyataan itu MAFI menjelaskan China merupakan negara pengimport utama SBW dengan mengimport 80 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport SBW Malaysia.

Bagi memenuhi protokol eksport SBW ke China, MAFI memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan persijilan Amalan Kebersihan Veterinar Yang Baik (GVHP) kepada 44 loji pemprosesan.

Hingga tahun lepas, sebanyak 41 loji SBW di Malaysia telah diluluskan oleh Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga loji EBN-RUC.

“Permintaan yang sangat tinggi dan khasiat sarang burung itu membuatkan nilai pasarannya yang tinggi dengan jumlah eksport industri ini pada 2020 adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.2 bilion dan eksport komoditi ini kekal kukuh di kala negara masih mengharungi penularan COVID-19.

“Sehingga 2021, terdapat 16,731 premis rumah burung walet dan lima gua pengeluar SBW yang telah berdaftar iaitu Gua Gomantong dan Gua Madai di Sabah, Gua Silabur dan Gua Niah di Sarawak serta gua di Pulau Dangli, Langkawi, Kedah,” menurut kenyataan itu.

MAFI melalui DVS juga mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.

Semalam Ronald melancarkan produk SBW gua Beho Birdnest Sdn Bhd dan meninjau operasi di loji pemprosesan SBW syarikat itu yang merupakan antara pengusaha SBW aktif di Malaysia dan berdaftar dengan pihak GACC.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda