Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki melakukan kesalahan adalah amat tidak wajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata perkara itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya, namun menegaskan perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang dalam Islam dan pesalah wajar dihakimi seadil-adilnya.
Idris turut menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan.
“Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki (melakukan kesalahan) bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Idris menyeru masyarakat supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan bersama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang berlaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.
Media sebelum ini melaporkan insiden tular menerusi media sosial yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan seorang lelaki seperti jenazah selain melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.
— BERNAMA