Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia, Singapura Bincang Usaha Pengaliran Data

By 14 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: KKMM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Perbincangan antara Malaysia dan Singapura pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) Kelima berhubung Kerjasama Maklumat dan Komunikasi semalam, berkisar kepada isu-isu yang berkaitan membolehkan pergerakan aliran data yang boleh dipercayai antara kedua-dua negara.

Turut dibincangkan dalam JCM yang dihoskan oleh Singapura itu ialah isu-isu yang berkaitan dengan usaha membaiki hubungan ekosistem teknologi dan inovasi masing-masing negara bagi menyokong perniagaan dan permulaan perniagaan.

Mesyuarat secara maya itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia (KKMM) Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek dan Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura Yong Ying-I.

“Kedua-dua pihak komited untuk melaksanakan projek-projek bagi menunjukkan manfaat kerjasama dalam domain digital yang berkembang pesat ini, bagi menyokong pemulihan ekonomi masing-masing,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena JCM semalam.

Kenyataan bersama itu berkata JCM turut berbincang bagaimana hasil pengeluaran, pengedaran dan penggunaan media diganggu oleh teknologi dan platform dalam talian, termasuk jumlah maklumat yang semakin meningkat dan penyebaran maklumat palsu yang berleluasa dengan pantas.

Pada mesyuarat itu Mohammad dan Yong berbincang mengenai usaha transformasi digital di negara masing-masing, di samping meneroka bidang yang kerjasama digital dua hala yang dapat meningkatkan pemulihan pascapandemik.

Mohammad menekankan bahawa Malaysia terus menerima teknologi digital dan membangunkan teknologi serta model perniagaan yang unik untuk membantu negara dalam mewujudkan enjin pembangunan baharu.

Beliau berkata dengan pertumbuhan ekonomi digital, Revolusi Perindustrian Keempat, dan teknologi yang sentiasa berkembang, Malaysia berhasrat untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor ini pada masa hadapan.

“Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk membantu pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan, dalam mengguna pakai teknologi digital, dan akan terus memajukan rancangan bagi mewujudkan ekonomi digital yang inklusif dan progresif untuk semua,” katanya.

Yong pula berkata kerjasama antara Singapura dan Malaysia akan menjadi batu loncatan untuk meningkatkan hubungan antara perniagaan dan orang ramai serta menyokong pemulihan daripada pandemik itu.

“Pandemik ini telah mendorong banyak syarikat untuk mengubah secara digital dan merebut peluang baharu. Melalui JCM, kita telah memulakan projek kerjasama digital yang bermakna untuk meningkatkan penggunaan dan kebolehoperasian teknologi digital di kedua-dua negara,” katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah JCM keenam menjelang akhir tahun ini dan Muzika Ekstravaganza ke-14. Muzika Ekstravaganza ialah sebuah rancangan tahunan penerbitan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Malaysia dan Mediacorp Singapura.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda