Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program MEKAR Prihatin Pasca Banjir bantu penduduk setempat yang terjejas banjir mendapatkan semula dokumen pengenalan diri yang rosak atau hilang akibat bencana tersebut.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, memaklumkan program tersebut merupakan satu inisiatif JPN dalam membantu mangsa banjir dalam memudahkan urusan mereka mendapatkan kembali dokumen peribadi yang terjejas.
“Pihak JPN telah menyediakan dua buah bas bergerak bagi memudahkan urusan pengunjung mendapatkan perkhidmatan jabatan itu.
“Program sebegini sebenarnya telah lama diadakan, namun keutamaan diberikan di kawasan bencana bagi memudahkan mangsa atau mereka yang terlibat untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri,” katanya ketika hadir sempena program di Dewan Komuniti Taman Sri Nanding, di sini semalam.
Menurut Hamzah, program sebegini bukanlah diadakan secara berkala sebaliknya hanya apabila diperlukan.
“Dengan kekuatan lima buah bas bergerak keseluruhan, kita mampu untuk membantu ramai warganegara bagi memudahkan urusan mereka berkaitan JPN.
“Diharapkan agar lebih ramai mereka yang terlibat dapat hadir ke sini bagi urusan penggantian dengan kadar yang segera kerana JPN masih ada beberapa tempat lagi yang perlu dituju selepas ini,” kata Hamzah.
Hamzah turut menyatakan bahawa kesemua agensi bawah kementeriannya akan turun membantu dalam proses pembersihan kawasan dan rumah mangsa-mangsa banjir sehingga selesai.
Mohd Zaidi Tin Abdullah, 53, hadir bagi mendapatkan surat beranak dan kad pengenalan miliknya, isteri dan anak perempuannya yang hilang akibat banjir pada 18 Disember lepas.
“Malam itu saya duduk menangis di atas bumbung rumah kerana air sudah hampir mencecah siling, di mana kesemua dokumen penting tidak sempat saya selamatkan memandangkan ketika itu hanya saya seorang yang berada di rumah.
“Saya sangat menghargai usaha kerajaan melalui JPN kerana memudahkan urusan kami di sini yang sukar untuk bergerak kerana ketiadaan kenderaan dan dokumen pengenalan diri kerana bencana yang berlaku, terima kasih kepada pihak jabatan atas inisiatif ini,” ujarnya.
Dalam program sama, Hamzah turut menyampaikan sumbangan bantuan dan melawat ke rumah dan kawasan sekitar bencana.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
-RI