Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diaktifkan semula dengan syarat lebih ketat mulai November 2021, telah menerima 111 permohonan baharu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata daripada jumlah permohonan yang diterima itu, Jabatan Imigresen telah meluluskan 15 permohonan bagi menyertai MM2H dengan tiga peserta telah berada di Malaysia.
“Baki permohonan yang ada sedang diproses kerana program ini memerlukan dokumen lengkap… ada yang tidak lengkap, maka sebab itu ada kelewatan terhadap permohonan,” katanya kepada media selepas merasmikan Executive Lounge MM2H di Aras 5 Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Ogos tahun lepas mengumumkan MM2H yang dibekukan sebelum ini diaktifkan semula dengan melibatkan penambahbaikan ke atas dasar dan syarat permohonannya bagi tujuan mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi.
Antara penambahbaikan dalam program MM2H itu adalah penetapan jumlah peserta iaitu prinsipal dan tanggungan pada satu-satu masa dengan tidak melebihi satu peratus daripada jumlah warganegara Malaysia.
Pemohon juga perlu memiliki akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding syarat sebelum ini iaitu sekurang-kurangnya RM150,000 bagi pemohon 50 tahun ke atas dan RM300,000 bagi pemohon 50 tahun ke bawah.
“Kalau 111 permohonan ini diluluskan, mereka akan membawa masuk RM1 juta seorang berbanding dahulu hanya RM300,000 sahaja, itulah perbezaannya. Kalau tahun ini dapat lulus 1,000 permohonan contohnya, kita akan memperoleh RM1 bilion,” kata Hamzah.
Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama. Program itu dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengkaji serta menilai semula program berkenaan secara komprehensif.
Sejak Oktober tahun lepas, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.
Hamzah berkata sejak mula diperkenalkan, terdapat 55,010 pemegang pas aktif MM2H iaitu 27,285 pemegang pas prinsipal manakala baki adalah pemegang pas tanggungan.
Executive Lounge MM2H, yang dahulunya beroperasi di MOTAC, menyediakan ruang bagi memberikan keselesaan kepada peserta berurusan.
— BERNAMA