Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Perniagaan AS Diharap akan Manfaatkan Peluang Pelaburan Daripada RCEP

By 20 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap perniagaan Amerika Syarikat (AS) akan memanfaatkan peluang pelaburan yang luas daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Dalam pertemuan dengan Majlis Perniagaan AS-ASEAN (AS-ABC) semalam, beliau berkata RCEP merupakan antara pembolehubah untuk membantu Malaysia memperkasakan semula aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsa.

“Pandemik telah menunjukkan kepentingan perdagangan antarabangsa dan kerjasama serta hubungan antara rantaian bekalan serantau.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia terus menjadi ekonomi terbuka, dengan dasar pro-perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara ini,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ismail Sabri berkata Malaysia telah melengkapkan proses ratifikasinya mengenai perjanjian perdagangan mega itu dan telah mengemukakan Instrumen Ratifikasi negara kepada Sekretariat ASEAN di Jakarta.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa di Malaysia pada 18 Mac 2022, katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata AS-ABC mempunyai peranan perundingan yang utama, apabila selama ini, majlis itu telah membantu menjayakan agenda integrasi serantau selain meningkatkan hubungan antara AS dan negara-negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

“Melihat ke hadapan, dengan memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta, saya optimis bahawa kita akan dapat membuka laluan kepada pertumbuhan yang berdaya tahan dan mampan,” kata Ismail Sabri.

Katanya masih terdapat banyak aspek positif untuk masa depan yang boleh dijangka, terutamanya jika kedua-dua pihak mengambil kira kecekapan ekonomi yang boleh diperoleh dengan perluasan ke rantau ASEAN.

Katanya beliau gembira dengan minat dan penyertaan yang berterusan daripada AS-ABC dalam menyokong ASEAN dan Malaysia untuk menggalakkan agenda transformasi digital.

Beliau berharap ini dapat membawa kepada kerjasama yang lebih baik dalam bidang digital, dengan perniagaan AS memacu mewujudkan tenaga kerja digital yang cekap di negara ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata dengan libat urus yang lancar antara kerajaan, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, ini boleh menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN.

AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015.

Walaupun perdagangan global mencatatkan defisit pada 2020, beliau berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 8.2 peratus dari segi jumlah perdagangan dengan AS, mencecah US$42.6 bilion.

Bagi tempoh Januari-November 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan AS meningkat sebanyak 20.7 peratus untuk mencecah US$47.35 bilion, berbanding tempoh sama pada 2020.

Selain itu, AS adalah pelabur asing kedua terbesar Malaysia dari segi pelaksanaan projek pembuatan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda