PUTRAJAYA, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) berhasil menemukan gas dalam telaga cari gali ‘wildcat’ Hadrah-1 di Blok SK411 yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 170 kilometer barat laut dari persisir Sarawak.
Telaga ‘wildcat’ bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau telah dieksploitasikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.
Menurut syarikat minyak negara itu, Hadrah-1 merupakan penemuan gas ketiga Petronas di wilayah tersebut pada 2021 selepas Sirung-1 dan Kulintang-1 masing-masing pada Mac dan Mei, manakala pada 2019, minyak dan gas juga ditemui di kawasan yang sama di medan D18.
Petronas menjelaskan telaga Hadrah-1 telah berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 1,850 meter pada November 2021, dan gas ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi setebal kira-kira 200 meter.
“PCSB ialah pengendali blok itu, dengan 90 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran. Baki 10 peratus dipegang oleh E&P Malaysia Venture Sdn Bhd,” menurut Petronas dalam kenyataan pada Jumaat.
Naib Presiden Cari Gali, Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata penemuan gas dalam telaga cari gali ‘wildcat’ Hadrah-1 oleh PCSB membuktikan lagi kemungkinan membuat penemuan minyak dan gas selain kemudian dijangkakan boleh dibangunkan secara komersial bagi kawasan Kitaran I, II dan III yang belum diteroka di wilayah Balingian.
“Kualiti takungan terbaik yang ditemui menandakan baki potensi yang ada di kawasan sekitar, dengan PCSB berada pada kedudukan baik untuk meneruskan usaha di kawasan sama yang belum dimanfaatkan di Blok SK411 dan SK306.
“Kami berharap dapat menawarkan lebih banyak gas asli, bahan api fosil terbersih, selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran,” katanya.
— BERNAMA