Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PM Beri Komitmen Bantu Rohana

By 17 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Ismail Sabri Yaakob 

PUTRAJAYA, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika, 22 tahun lepas selepas ibunya pulang ke Indonesia.

Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial Setiausaha Akhbarnya Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

Menerusi perkongsian itu, perdana menteri yang dilihat berada dalam kenderaan telah menghubungi sendiri Rohana bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi gadis berkenaan.

Ismail Sabri berkata beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

Perdana Menteri berkata pihaknya akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

“Kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak,” kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu.

Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap perdana menteri dapat membantunya.

Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

Dalam pada itu, menerusi catatan di laman Facebooknya, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Chee yang menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang.

Beliau berkata Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

“Insya-Allah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Buat Chee Hoi Lan, terima kasih…salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda