Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Baling) /Warta Kedah
BALING, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak empat buah kampung terlibat dalam kejadian banjir daripada kepala air, di sini baru-baru ini.
Keadaan hujan lebat yang berterusan selama tiga jam sejak pukul 2 petang kelmarin menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke masuk kawasan rumah berdekatan sungai di empat buah kampung di sini.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang serta Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Mukim Bakai.
Seramai 627 mangsa dikatakan terlibat dalam kejadian yang menyebabkan tiga orang mangsa meninggal dunia setakat ini daripada pencarian yang dibuat oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat.
Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri sedaya upaya membantu menyediakan penempatan sementara kepada penghuni-penghuni rumah yang rosak teruk.
“Antara yang akan diusahakan ialah rumah gantian kepada mangsa di tapak lain yang lebih selamat kerana dibimbangi jika didirikan semula di kawasan asal berkemungkinan kejadian yang sama akan berulang,” katanya dalam sidang media di Pusat Media, Tabika Kemas Kampung Bendang Bechah, di sini semalam.
-ZS-