Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Shahvian Muhd Razali
KOTA KINABALU, 25 Jul (Malaysiaaktif) –
Jalinan kerjasama erat antara media dan agensi kerajaan menjadi medium mengekalkan keamanan.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Nadzerah Abdullah berkata media memberikan laporan, perbincangan, pemberitahuan dan analisis yang mampu membentuk pola pemikiran masyarakat.
“Ini kerana cabaran keterbukaan sumber maklumat tanpa sempadan ditambah latar belakang masyarakat berpendidikan tinggi menjadikan lontaran pendapat lebih terbuka melalui platform media sosial.
“Justeru, salah satu cara untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman dapat dimanifestasikan melalui kerjasama jabatan bersama rakan media,” katanya semasa berucap pada program Kupi-kupi JaPen Sabah Bersama Media, di sini petang tadi.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama, sokongan dan hubungan baik daripada pihak media selama ini.
Pada majlis sama taklimat sesi libat urus Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 turut disampaikan oleh Pengarah Kanan Unit Gerak Saraf Perang Saraf Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Aidalina Mahili.
-ZS-