Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 27 Dis (Malaysiaaktif) – Satu lagi mercu tanda baharu terdapat di Pulau Langkawi iaitu Menara Maha. Menara ini terletak di Langkawi City yang menjanjikan pemandangan indah 360°, berlatarkan kehijauan alam yang memukau dan Laut Andaman yang biru.
Menurut Pengurus Menara Maha Fahruddin Najumudeen ketika ditemui di sini baru-baru ini berkata, menara tersebut mempunyai ketinggian 138 meter dengan 33 tingkat telah dihadiri lebih 5,000 pengunjung sejak ia mula dibuka pada 30 September lalu.
“Setiap hari ianya mula beroperasi dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam dengan menyediakan enam slot kepada para pengunjung. Antaranya iaitu ‘Sunset Slot’ dari pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam di mana para pengunjung dapat menikmati keindahan waktu matahari terbenam.
“Menara Maha menawarkan pemandangan dan keindahan Pulau Langkawi yang amat menakjubkan. Makanan ringan dan mesin membuat kopi juga disediakan,” ujar beliau.
Menurut Fahruddin lagi terdapat gabungan lantai kaca dan tingkap condong di ‘Sky Deck’ aras 33 iaitu tingkat tertinggi menara yang mana para pengunjung dapat mengabadikan kenangan di sini.
Seorang pengunjung yang ditemui Mohd Hanapi Mohd Noor, 44, dari Shah Alam Selangor turut teruja dan gembira dengan Menara Maha terutamanya lantai cermin yang sangat menarik dan menjadi tarikan kepada para pengunjung.
-ZS-