Laporan/foto: Muhammad Arief/Emran Ismail
CAMERON HIGHLANDS, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menjaga dan menyayangi Cameron Highlands.
Dalam titahnya baginda mengingatkan untuk menjaga dan menjadikan Cameron Highlands sebagai satu destinasi yang kekal cantik serta menarik untuk dikunjungi.
“Sepanjang pemantauan saya, ada sahaja kawasan bukit dan hutan yang diterokai. Ini menjadi kemusykilan bagi saya dan negeri Pahang.
“Jadi, saya berharap kerajaan negeri akan terus memberi penekanan dalam menangani hal ini,” titahnya selepas berkenan berangkat meninjau kawasan yang terkesan akibat banjir lumpur di Kampung Baru Kampung Raja, di sini semalam.
Baginda turut berkenan mendengar taklimat kejadian dan laporan solusi banjir lumpur yang berlaku baru-baru ini oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman dan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang terlibat dalam insiden tersebut.
Turut mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar Pahang Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
-ZS-