Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Aktiviti Konservasi Hidupan Liar Jadi Tarikan Ekopelancongan

By 19 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz/Mohd Hafiz Abdullah (Batang Padang)

SUNGKAI, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai yang mula dibangunkan sebagai salah satu kawasan ekopelancongan sejak 2015 kini menjadi antara tarikan menarik bagi pengunjung yang datang ke daerah ini.

Terletak 10 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungkai, pusat yang mempunyai keluasan 20 hektar ini diuruskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak.

Menurut petugas Steward Angin, pusat konservasi ini bertujuan melindungi haiwan liar daripada diancam kepupusan berikutan beberapa faktor seperti aktiviti pemburuan haram dan pengecilan habitat terutama bagi tujuan pembangunan.

“Aktiviti konservasi amat penting bagi memastikan generasi akan datang masih mampu untuk melihat haiwan ini secara nyata selain memastikan rantaian makanan serta ekosistem dapat dipelihara.

“Selain itu, program pembiakan haiwan turut dijalankan di sini bagi menjamin kemandirian spesis haiwan yang terlibat. Antara haiwan yang menjalani program ini ialah seladang atau nama saintifiknya ‘bos gaurus’ kerana populasinya kian terancam,” katanya.

Tambah Steward, terdapat juga program pembiakan dalam kurungan khas buat haiwan terpilih seperti rusa sambar, tenggiling dan burung kuang.

“Dibuka kepada orang awam dari hari Isnin hingga Jumaat, tempat ini boleh dilawati secara percuma bermula pukul 2 petang hingga 5 petang,” katanya lagi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda