
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rajeswari Anbazagan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dengan sindiket penipuan (‘scammer’) terutamanya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
“Sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan terus putuskan talian. Jangan jawab panggilan dan tekan link yang tidak dikenali.
“Jika anda mangsa ‘scam’, segera hubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” nasihat Fahmi Fadzil ketika beramah mesra bersama komuniti Cina di Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina 2023 di Pantai Eco Park, di sini pada Sabtu.
Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan beg makanan kepada 100 penerima di sekitar PPR Lembah Pantai.
Fahmi Fadzil turut menyeru orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan dos penggalak dengan kadar segera sebelum menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.
-ZS-