
Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
BATANG KALI, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 15 waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali menerima sumbangan wang ihsan RM5,000 setiap keluarga daripada kerajaan negeri Selangor sempena Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Selangor di Oasis Batang Kali.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan negeri Borhan Aman Shah, bantuan ini merupakan inisiatif pertama kali dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu keluarga yang terjejas.
“15 penerima hari ini merupakan waris mangsa yang berasal dari Selangor manakala bagi waris mangsa yang berada di Pulau Pinang dan Melaka akan diberikan secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sidang media sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Selangor, di sini semalam.
Dalam sesi yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan ‘Back To School’ berupa kelengkapan dan peralatan sekolah kepada lebih 50 orang penerima.
Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Program JKSP Hulu Selangor dan antara yang menjadi tumpuan pengunjung adalah kaunter jualan minyak masak terpakai, Program Jualan Ehsan Rakyat, pameran Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) serta jualan produk oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
-ZS-