Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kalau Saya Sudah Tiada, Dermakan Organ Saya – Mendiang Laini Sukat

By 19 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd. Nizwan Mohd. Daini/Jabatan Kesihatan Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 19 Feb (Malaysiaaktif) – “Kalau saya tiada sudah lain kali, kasi derma ‘nopo’ organ-organ saya yang masih buli (boleh) kena derma,” demikian pesanan penderma organ, mendiang Laini Sukat, 60, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Ranau kerana kemalangan jalan raya.

Pesanan mendiang itu dimuat naik menerusi status Facebook anak mendiang, Fitzgerald Bernard Bornett Gullitbei yang merupakan anak kelima daripada enam adik beradik.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pihak keluarga memaklumkan kepada pihak hospital bahawa mendiang pernah berhasrat menderma organ setelah pemergiannya dan seluruh ahli keluarga terdekat menyokong hasrat murni tersebut.

“Kes ini kemudian dirujuk ke Pusat Sumber Transplan Sabah, Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk penilaian kesesuaian, pengurusan logistik dan koordinasi pendermaan.

“Pendermaan sepasang kornea (mata) telah disempurnakan Hospital QEH dan pembedahan transplan kornea turut berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), pada Ahad.

Katanya, JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemuliaan hati penderma dan seluruh ahli keluarga kerana memberikan anugerah kehidupan kepada pesakit yang memerlukan.

“Semoga roh mendiang berehat dalam damai dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi waktu yang sukar ini,” ucapnya.

Sehubungan itu juga, JKNS merakamkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (IPD) dan Mahkamah Negeri Sabah (Mahkamah Majistret) atas kerjasama dalam menjayakan kes medikolegal ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda