Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Menu Rahmah Menu Tengah Hari Bantu Golongan Sasar

By 13 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Siti Nor Aishah (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Pengenalan Menu Rahmah yang merupakan set makanan yang seimbang dengan harga berpatutan terus disokong dan dipuji kerana matlamatnya adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa kini.

Pelanggan kedai, Najahul Kamilah Aminy Sukri, 25, mengakui Menu Rahmah yang diperkenalkan mampu menjimatkan belanja makan tengah harinya.

“Rata-rata harga makanan tengah hari di restoran antara RM7.00 hingga RM9.00 malahan lebih bergantung kepada pemilihan lauk. Pada saya pengenalan Menu Rahmah ini sangat membantu golongan sasaran seperti pelajar dan golongan B40,” katanya.

Pengusaha kedai makan di sini telah menyahut seruan kerajaan dalam menyediakan pelbagai jenis makanan pada harga serendah RM5.00 kepada golongan sasar.

Pemilik kedai, Nor Haziqah Md Azmi, 35, berkata dia berbesar hati untuk menyahut inisiatif tersebut meskipun berdepan cabaran dalam menyediakan menu lengkap pada harga cuma RM5.00.

“Mencabar juga untuk menyediakan sepinggan nasi, ayam atau ikan dan sayur pada harga RM5.00, tetapi ia bukanlah mustahil, saya yakin peniaga lain juga mampu membuatnya,” katanya ketika ditemui ketika pelancaran kempen Menu Rahmah di kedai makan miliknya pagi tadi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda