
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Ahmad Suhaimi Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Isu mutu dan kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi adalah antara isu yang perlu diselesaikan secara pukal bagi kepentingan pengguna.
“Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk segera meneliti dan menyelesaikan isu mutu dan kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi menjelang hujung suku kedua tahun ini.
“Ini kerana perkara ini sering menjadi rungutan orang ramai.
“Bila bab bil dibayar lewat akan dipotong tetapi bila mutu perkhidmatan tidak ditepati kemahuan atau tahap yang boleh kita terima namun tiada apa-apa kesan,” kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Parlimen Lembah Pantai di Bangsar, semalam.
“Ada juga isu liputan dalam bangunan kerana beberapa peralatan perlu dipasang dalam bangunan tetapi apabila berada di luar bangunan, pengguna dapat akses tetapi masuk dalam bangunan liputan itu jatuh dari lima bar ke satu atau dua bar.
“Malah di sesetengah stadium ketika menonton bola sepak, aduan diterima tiada liputan.
“Maka, perlu ada kerjasama dalam kalangan syarikat telekomunikasi melalui SKMM, apakah kawasan yang perlu diberi keutamaan,” ujar Fahmi Fadzil ketika diminta mengulas mengenai harapan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.
Selain itu, KKD juga akan fokus menyelesaikan masalah rangkaian internet terutama di kawasan berpenduduk tiga peratus iaitu membabitkan kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
-ZS-